JellyPages.com

Thursday, December 27, 2012

cinta halal-ku

Buat Cinta Halalku,


Walau usia perkahwinan kita baru setahun jagung, tetapi ujian yang datang cukup untuk membuatkan kita hampir tersungkur. Mungkin kerana kita masih muda. Masih sukar mencari penyelesaian dan pertimbangan. Dalam tak sedar, ujian ini menjadikan kita matang. Kita dapat merasakan cinta dan sayang kita semakin bercambah. Bukan kerana kita mahukan kesempuranaan tetapi kerana kita mahukan mawaddah warahmah. Kita berkongsi air mata dalam setiap doa yang kita panjatkan. Kita takut hati kita rapuh, iman kita luruh. Kita berjanji untuk menjadi nadi satu sama lain. Di dalam dakap fajar siddiq, kita menadah keampunan dan minta untuk dipinjamkan kekuatan. Kita bukan takut untuk tersungkur lagi tetapi kita takut jika kita digolongkan dalam golongan hamba-hambaNYA yang rugi. Kita berharap Allah panjangkan jodoh kita bukan hanya di dunia tetapi sampai syurga. Cinta halal ini benar-benar membuatkan kita kuat dalam menempuh ujianNYA. Terima kasih Tuhan kerana menjadikan aku dari tulang rusuknya.




Tuesday, September 25, 2012

BERTUNANG BUKAN TIKET!


Salam ‘alaik..
Lately makin banyak dapat invitation untuk majlis pertunangan dan pernikahan kawan-kawan. Alhamdulillah saya tumpang gembira untuk mereka. Seolah-olah macam trend pulak kahwin sebelum usia menginjak 25 tahun tapi based on experience, kahwin awal/ kahwin muda ni memang best. Di sebabkan best, so dugaan dan ujiannya pun turut best :D

Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Saya terpanggil untuk menulis entri tentang hal-hal seperti ini. Entahlah, saya sendiri tidak pasti sama ada kita tak tahu atau buat-buat tidak tahu atau mungkin terlupa tentang hakikat sebuah PERTUNANGAN. Alhamdulillah, syukur kepada Allah buat mana-mana sahabat yang bakal bertunang atau pun telah bertunang. 

BAKAL TUNANG

Yang bakal bertunang tu, maksudnya sudah ada yang menghantar tanda. Tanda yang mana kita telah sepatutnya memulakan solat istikharah. Supaya nanti, takdelah kita bertunang dengan orang lain tapi berkahwin pulak dengan orang lain. Ini bukan soal ‘dah  takde jodoh’ tapi ini melibatkan kebergantungan kita pada Allah dalam menetapkan siapa bakal suami/isteri kita.

TUNANG ORANG

Yang sudah pun menjadi tunangan orang, banyak perkara yang perlu diambil kira. Sudah bertunang bukan tiket untuk kita keluar bersama-sama, pergi ke mana-mana majlis bersama-sama kononya untuk memperkenalkan bakal suami/isteri kepada kawan-kawan. Bahkan inilah saat yang paling banyak dugaan dan paling banyak ujian. Time nil ah syaitan yang dihantar semuanya yang berpangkat besar dengan bisikan-bisikan dan hasutan-hasutan yang hebat. Inilah antara punca kenapa banyaknya anak zina di kalangan orang-orang yang telah bertunang tapi belum bernikah. Mereka menganggap pertunangan itu sebagai tiket untuk memulakan hidup sebagai suami isteri.

DAH NIKAH NANTI…

Saya pun tak faham kenapa nak buat semua tu sebelum nikah. Sedangkan lepas nikah nanti, isteri tu halal buat suami. Bawalah si isteri kemana pun, orang tak kan bercakap buruk. Pegangalah tangan si isteri kuat-kuat, redha Allah pun turun mencurah-curah. Tataplah wajah suami/isteri,  nikmat Allah turun bagai hujan. Tapi kalau duk sibuk tatap muka tunang, konon-konon untuk pupuk kasih sayang, konon-konon supaya boleh belajar respect dia bila dah jadi suami/isteri nanti, tau tak apa yang Allah bagi? Cuma laknat Allah yang turun mencurah-curah.

Dalam keadaan zaman yang semakin maju ni, saya akui memang susah untuk menjaga diri, untuk manjaga hati, apatah lagi untuk menjaga peribadi. Filem-filem atau cerita-cerita yang ditayangkan banyak yang berunsur lucah yang boleh membangkitkan nafsu dan menggoyahkan iman. Sebaik manapun seorang lelaki itu, apabila duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan pasti difikirannya akan terlintas pada hal-hal seperti ini.

Sebagai seorang perempuan, marilah sama-sama kita menjaga diri dan maruah kita. Berilah cinta kita hanya kepada yang berhak. Hanya kepada yang melabuhkan cintanya kepada Sang Pencipta Cinta. Hanya kepada yang halal.

CINTA ITU INDAH
ANDAI MANISNYA DIHIRUP SELEPAS NIKAH
DISEMAI DIBAJA PENUH ISTIQAMAH

CINTA ITU INDAH
ANDAI DIPANDU DENGAN SUNNAH
TETAP SETIA SENANG DAN SUSAH

CINTA ITU INDAH
ANDAI DIRAIH DENGAN MUJAHADAH
WALAU DIUJI TETAP GAGAH

Wednesday, September 5, 2012

cermin diri sendiri!

Salam 'alaik..

Alhamdulillah kita masih diberi peluang dan ruang untuk bernafas di muka bumiNYA. Tetapi sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan ni? Cuba bayangkan kalau setiap udara yang kita sedut ni perlu dibayar? Saya rasa takde millionaire kt dunia ni. Semuanya dok sibuk kumpul duit nak bayar udara yang disedut! Betapa sayangnya Allah pada kita sebab DIA bagi kita sedut udara ni FREE OF CHARGE!! Tapi sedikit sekali di antara kita ni yang bersyukur. Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hambaNYA yang bersyukur..



cermin diri

sama ada kita sedar atau pun tak, kita selalu cakap pasal keburukan orang lain. Memang la ada yang bercakap pasal kebaikan orang lain, tapi yang banyaknya duk mengutuk & mengumpat jela. Kita selalu je tak sedar, apa yang kita tak suka orang buat pada kita,itulah sebenarnya yang kita sedang buat pada orang lain. Kita sibuk nak bercakap tentang buruk orang sampai kita terlupa nak cermin tingkah laku & peribadi kita. 

Yang lebih teruk lagi, depan orang tu kita bukan main pijak semut tak mati! tapi bila belakang dia, kita mengata dia bagai nak rak!! Nauzubillah.. Dalam kita tak sedar, ni adalah salah satu ciri orang2 munafik. Dia mengaku beriman tetapi dalam hatinya tidak. Kan lebih baik kalau boleh slow talk dan discuss elok2. Bukanlah maksudnya kita perlu cakap direct yang kita tak suka attitude dia tp gunakan bahasa yang lebih baik dan cara yang lebih berhikmah & berhemah.


"SEKIRANYA KITA MELIHAT SESUATU YANG BURUK PADA ORANG LAIN, IA ADALAH CERMINAN UNTUK DIRI KITA KERANA HANYA ORANG YANG HATINYA TIDAK BERSIH SELALU MELIHAT KEBURUKAN PADA ORANG LAIN."



Kata-kata ni memang sangat betul! Saya terasa seolah-olah ia tepat ditujukan pada saya. Ya, entri ni sebagai peringatan untuk diri saya dan saya berharap dapat menyedarkan kalian juga..



Wallahu 'alam~

Monday, August 27, 2012

bertuah

Salam 'alaik..

pejam celik, sudah setahun labih arwah abg ipar pergi meninggalkan kami. Dia pergi meninggalkan seorang tunang yang tidak sempat dinikahinya sedang persiapan majlis sudah lengkap. Baju nikah dan dulang hantaran juga sudah siap. Tapi, jodoh mereka tidak panjang. Allah lebih sayangkan arwah.

mungkin menyusul

Baru-baru ini, tunang arwah ada menelefon saya. Katanya rindu pada arwah. Di tambah pula dengan ujian yang dihadapinya sekarang. Dia takut dia akan menyusul arwah. Saya tertanya-tanya. Apakah ujian yang ditanggungnya? Dia telah berjumpa Doktor pakar, dan doc sahkan yang usus besarnya harus dibuang. Ususnya telah penuh dengan polip yang mana polip ini boleh berkembang menjadi kanser. Dia menghidap penyakit ini disebabkan sejarah keluarganya. Arwah ibunya meninggal kerana kanser usus.

Buat masa ini, polip tersebut masih belum menjadi kanser. Dia seperti patah harapan untuk hidup. Saya sendiri hilang kata2 untuk memberinya semangat. Betapa berat ujian yang dihadapi oleh orang disekeliling saya. Seharusnya, kita bersyukur. Saat kita masih boleh berlari, ada yg tidak boleh berjalan bahkan ada yang tidak boleh berdiri. Saat kita boleh duduk, ada yang hanya terbaring kaku. Betapa besar nikmat kurniaan Tuhan kepada kita.


Syukur ya Allah. Syukur atas nikmat ini. Pasti setiap ujian yang kita hadapi itu, DIA mahu berikan sesuatu yg lebih baik.

Wednesday, July 11, 2012

MOTIVASI DIRI

Salam'alaik..
Alhamdulillah kita masih diberi ruang dan peluang untuk bernafas di muka bumiNYA.


Entah kenapa kebelakangan ini, banyak ujian yang menjengah hidup saya. Terkadang, rasa cemburu apabila melihat rakan seperjuangan sahabat dan sahabiah yang telah berjaya. Sehingga saya terlupa, untuk mereka sampai ke tahap itu, mereka juga diuji malah mungkin ujian mereka lebih berat lagi. Saya juga terlupa bahawa Allah tidak akan menguji hambaNYA dengan ujian yang tak mampu ditanggung. 


Saya terjatuh


Hampir 2 minggu saya bercuti kerana adik saya kemalangan. kemalangan teruk sehingga berlaku open fractured. Tulang tersembul keluar dan banyak tulang yang patah. Kami sekeluarga menangis. Tak pernah lagi keluarga kami diduga dengan ujian sebegini. Mak menangis sepanjang tempoh kritikal adik. Dia sedar, tetapi dia seolah-olah lupa. Kami sangat takut jika berlaku kecederaan pada otaknya. Abah tidak menangis di hadapan kami tetapi sedunya terdengar jelas dari bilik solat. Saya seolah-olah terjatuh pada gaung yang paling dalam. Adik apatah lagi. Dia seolah-olah berasa masa hadapannya telah malap. tangan dan kakinya tidak lagi dapat berfungsi seperti biasa. Kalau saya lemah, adik bagaimana? Saya hampir bertekad untuk berhenti dari pengajian. Saya mahu membantu mak menjaga adik. Sekurang-kurangnya inilah bantuan moral untuknya.


saya jatuh lagi


suami saya membantah sekerasnya jika saya mahu berhenti dari pengajian. Saya sudah hampir ke semester akhir. Tak kan saya mahu beralah? Memang benar, saya tak sepatutnya berhenti di tengah jalan. Saya meneruskan penyelidikan. Tetapi saya diduga lagi. Berminggu-minggu penyelidikan yang saya lakukan tidak memberikan keputusan yang sepatutnya. Saya terduduk! Apa yang harus saya lakukan lagi? Jiwa saya seperti di bawa pergi. Terbang jauh ke awan. Rakan-rakan penyelidik yang lain, memberikan semangat dan galakan. Seseorang yang mengalami kesusahan yang banyak, pasti kegembiraannya juga banyak. Sebanyak mana yang kita tanam, sebanyak itu jugalah yang kita tuai. saya cuba bangkit dari jatuh. saya mulakan segalanya semula. Mencari setiap jawapan untuk persoalan yang timbul. Saya buka buku baru.


Bukan setakat itu


saya mula bina kekuatan.  Saya harapkan panas sampai ke petang. Saya diuji lagi. Diuji dengan sebuah kesakitan. Saya sangka hanya demam biasa. Rupa-rupanya saya diserang virus. Semua sendi-sendi saya jadi sakit. Saya tidak mampu untuk berjalan sendiri. Walaupun pada awalnya saya paksa diri untuk solat berdiri, akhirnya saya terpaksa solat duduk. Hampir seminggu saya hanya berkurung di dalam rumah memandangkan rumah saya di tingkat 5. Tiada lif hanya tangga. Saya tak berdaya untuk mendaki anak tangga. Berkurung di rumah hanya menambahkan tekanan dalam jiwa. Sekali lagi, semangat saya hilang. Saya gagahkan diri untuk ke pusat kesihatan. Dr. meminta saya melakukan ujian darah takut-takut saya menghidapi atrhitis. Atrhitis boleh menyebabkan kegagalan fungsi kidney dan juga boleh menyerang otak yang akan menyebabkan lumpuh.  Saya putus asa. Saya betul-betul mahu berhenti dari pengajian. Saya mahu berada di samping suami dan melalui semua ujian hidup dengannya. Sekali lagi suami saya tidak bersetuju. Dia mahu saya kuat hanya untuk satu semester sahaja. Sepanjang tempoh saya sakit, semua tugas-tugas saya dilakukan olehnya. Dia memasak, membasuh baju,malah mengendong saya. Saya terasa seperti beban untuknya. Dia melakukan semuanya dengan tulus. Setiap kali solat, air matanya pasti mengalir. Mental saya diuji. 




Masih diberi peluang


Keputusan ujian darah mengesahkan saya bebas dari atrhitis. Hanya darah dan urine saya diajangkiti kuman. kedua-dua kaki saya membengkak. Pergerakan saya semakin sulit. Tapi alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya tahu saya tidah menghidap sebarang penyakit kronik. Kini, sudah hampir 2 minggu saya tidak ke makmal. Penyelidikan saya banyak tergendala. Saya takut sekiranya pengajian saya ini akan mengambil masa yang lebih lama. Saya sebolehnya tidak mahu lagi duduk berjauhan dengan suami. Suami saya bersusah payah mencari rumah sewa lain  yang tidak memerlukan saya untuk naik turun tangga. Dia mahu saya selesaikan pengajian saya. Inilah hadiah yang dia mahukan.


Kenapa saya selemah ini?


Saya baru tersedar. Kenapa saya terlalu lemah menghadapi ujian-ujian ini? Saya cuba muhasabah diri. Saya yakin pada satu hal. Jiwa saya kosong. Iman saya menipis. Inilah sebabnya. Sebab utama kenapa saya sering mengalah dengan ujian tuhan. Saya perlu memantapkan jiwa. memantapkan iman! Tak sabar menunggu Ramadhan, kerana saya yakin Ramadhan dapat membantu saya membentuk jati diri ummah yang lebih baik. Harap-harap saya masih dapat bertemu dengan Ramadhan. 

Tuesday, July 3, 2012

saya tak nak BERJUDI!!!!!!

Salam 'alaik..

memang berjudi adalah haram hukumnya bagi umat islam tapi kita tak sedar sebenarnya kita telah terlibat dalam perjudian ini semenjak kita dilahirkan lagi. Seperti kata orang-orang lama, HIDUP INI ADALAH SATU PERJUDIAN. Kita tak pernah tahu apakah yang akan berlaku pada masa hadapan. Kita memperjudikan hidup kita dengan membuat pilihan. Pilihan yang kita buat yang bakal menentukan siapa kita di masa hadapan. Setelah kita memperjudikan nasib kita untuk memilih satu jalan, terkadang apabila sudah berada ditengah-tengah jalan, kita baru tersedar bahawa jalan yang kita sedang lalui itu bukanlah jalan yang terbaik. Adakah salah untuk berhenti dan memilih jalan yang lain?



moga Allah permudahkan kita untuk menyusuri jalan yang telah kita pilih~



Saturday, June 16, 2012

macam pelangi

Salam 'alaik..


Saya sering  terfikir, kenapa kita sering melihat kesenangan & kebahagiaan yang sering dimiliki oleh orang lain tanpa kita melihat kelebihan diri sendiri? Kita sering merasa betapa beruntungnya rakan-rakan kita yang telah stabil hidupnya. Sedangkan kita tidak pernah pun berfikir tentang kesusahan yang dihadapi oleh mereka untuk menjadi seperti sekarang. Membandingkan diri dengan seseorang yang lebih atas/berjaya dari kita memang menyakitkan malah boleh membuatkan kita tidak bersyukur dengan nikmat yang kita perolehi sekarang. Kita sering terlupa, kesusahan itu pasti akan diakhiri dengan kesenangan. Allah sendiri telah berjanji dalam surah Al-Insyirah sesungguhnya bersama-sama kesusahan ada kesenangan. Ayat ini diulang sebanyak dua kali. Tapi kita sering kali hilang kesabaran saat menghadapi kesusahan/ ujian. Sekali-sekala memang kita perlu pandang org yang lebih bawah dari kita. Sekurang-kurangnya kita belajar untuk bersyukur. 








Mungkin betul kebahagiaan tu umpama pelangi. Kita sering melihatnya di atas kepala orang lain tanpa kita sedar pelangi tu pernah berada atas kepala kita

Sunday, May 13, 2012

PENGALAMAN

Salam 'alaik..
Alhamdulillah kita msih diberi ruang dan peluang untuk menumpang dibuminya. Semoga peluang yang ada ini kita gunakan sebaiknya. 


Sekian lama, saya tidak menulis apa2 di sini. Pejam celik, sudah lebih 5 bulan saya bergelar isteri. Terasa masa bergerak dengan pantas. Semakin ramai juga sahabat2 yang mula melangkah ke gerbang pertunangan dan perkahwinan. Semoga ikatan yang sah ini dapat menjaga hati2 kita dari hasutan syaitan.


sekadar berkongsi


Saya hanya mahu berkongsi pengalaman. Tidak lebih dari itu. Usia 23 tahun tidaklah terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga tapi memang darah masih muda. pada 29/5/2011 saya bergelar tunangan orang dan pada 27/11/2011 kami selamat diijabkabulkan. Saya sering kali mendengar kata-kata orang, tempoh pertunangan itu pasti akan ada ujian. Ya, memang benar! Saya juga melaluinya.. Selepas kami bertunang, tunangan saya ditimpa musibah. Mata kirinya dijangkiti kuman dan mungkin kuman tersebut boleh merebak ke sebelah mata lagi. And it will lead to permenantly blind! Ya Allah, tamparan pertama Kau berikan kepadaku. Tunang saya menghadapi tekanan yang agak teruk. Dia seringkali menyuruh saya membuat pilihan semula. Berkali2 dia menyuruh saya melakukan solat istikharah dan dia redha sekiranya kami tidak berjodoh. Sungguh, saya jadi sedih. Di tambah dengan pembelajaran yang baru saya mulakan, saya jadi tertekan. Tunang saya kerap melakukan rawatn di Tun Hussein On Eye Specialist sehinggakan wang untuk perkahwinan kami mula  terusik. Ini bermakna kemungkinan besar untuk tarikh perkahwinan kami dianjak sedangkan itulah yang mahu saya elakkan. Saya mahu sekali bergelar isterinya yang sah untuk mendengar setiap  keluhannya dan memberikan semangat kepadanya. Saya malu untuk memberitahu  isi hati saya kepada sesiapa saat itu, jadi saya hanya meminta kepadaNya. Seringkali saya menangis dan minta hati saya ditetapkan hanya untuknya. 


Alhamdulillah


Syukur yang tidak terhingga, akhirnya kami bergelar suami isteri. Buat pertama kalinya kami bertentang mata dan saya mendengar panggilan 'sayang' dari seorang suami. Sungguh saya malu. Perkara pertama yang kami bualkan adalah tentang keadaan matanya. Saya tidak pernah menganggap itu isu yang besar dalam rumah tangga kami. Tetapi tidak bagi dia. Dia merasa kekurangan. "Abang berharap abang dapat tengok sayang dan anak2 membesar didepan mata abang. Abang harap Allah beri kesempatan itu untuk abang." Saya menangis. Tidak tahu apa yang harus saya katakan. "abang jangan risau, sayang akn jadi mata abg." saya menjawab dalam sedu. Mungkin ia seperti cerita novel, tapi inilah yang saya lalui. Saya berusaha supaya dia tidak merasa kekurangan. Hari berlalu, rawatan juga terus berjalan. Banyak simpanan kami habis untuk rawatan matanya. "Abang mintak maaf, abg tak boleh bagi kemewahan buat sayang. abg hanya menjadi beban untuk sayang." Kadang2 pergaduhan kecil berlaku disebabkan isu ini. Emosi saya tidak menentu. Di tambah dengan beban tugas2 lain, saya menjadi pemarah. Mujur suami saya banyak mengalah. Memang benar, kehidupan selepas bekahwin itu lebih penting daripada majlis resepsi yang bermewah-mewah. Mujurlah memang majlis kami cuma sederhana. Banyak simpanan yang kami buat untuk kehidupan selepas berkahwinan. Namun begitu, simpanan suami saya juga semakin berkurang. Dia tidak dapat belayar seperti biasa kerana keadaan matanya yng tidak mengizinkan. Pertengkaran kecil kerap berlaku gara2 saya yang gagal mengawal emosi. Saya terasa segala2nya menjadi sukar. Sepatutnya saya menjadi penguat buat suami tetapi saya pula yang putus asa.


semuanya berubah


 "Ya Allah,Kau permudahkanlah pintu rezeki kami, Kau limpahkanlah rahmat dan kasih sayangMu dalam rumah tangga kami, Kau sulamilah kasih sayang dalam hatiku dan isteriku dan Kau jadikanlah isteiku ini, isteri yang solehah yang menjadi pendampingku di dunia dan akhirat." Saya menangis laju sebaik doa ini selesai dibaca oleh suami saya. Saya seperti baru tersedar. Betapa saya perlu menjadi kuat demi suami saya. Seringkali bila emosi saya tidak stabil, suami akan mencium ubun-ubun saya. Dan seperti ada keajaiban,pasti semua emosi2 negatif itu akan berlalu pergi. Kehidupan kami menjadi semakin baik. Janji Allah itu benar. Bersama-sama kesusahan pasti ada kesenangan. Saya mendapat biasiswa untuk meneruskan pelajaran dan elaun saya juga bertambah. Saya bersyukur. Sangat-sangat bersyukur. Kemudian, rezeki suami pula menjengah rumah tangga kami. Dalam keadaan matanya yang tidak begitu baik, dia ditawarkan untuk menjadi pensyarah di salah satu syarikat perkapalan. Alahmdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah. Allah sudah berjanji bahawa DIA akan sentiasa bersama orang2 yang sabar. Syukur yang tidak terhingga, kehidupan kami semakin baik. Jangkitan kuman pada mata suami saya juga telah menyebabkan kornea matanya penuh dengan kesan calar akibat jangkitan tersebut. Dia tidak boleh melihat dengan baik dan kontraknya dengan MISC dibatalkan kerana kecacatan tersebut. 


setiap yang berlaku ada hikmahnya


Kita selalu tidak dapat melihat hikmah dari sesutau yang berlaku pada kita. Sewaktu melaluinya kita pasti bersedih dan menangis sehingga kita terlupa kita sentiasa ada tempat untuk bergantung harap. Ya! Allahlah sebaik2 tempat untuk kita mengadu. Ekoran daripada masalah kesihatan mata suami saya, dia tidak lagi dibenarkan untuk belayar. Inilah hikmah dari segalanya. Jika dia tidak ditimpa musibah ini, pasti kami hanya akan berjumpa 6bulan sekali!  Saya bersyukur kepada Allah kerana saya dijadikan dari tulang rusuk seorang lelaki yang insyaAllah soleh akhlaknya. Saya sangat2 berharap kami akan diberikan zuriat yang soleh dan solehah dan saya akan tetap menjadi bidadarinya di dunia & akhirat.









Friday, February 10, 2012

ibadah yang kosong

Salam 'alaik..


Seringkali kita gelisah, lebih-lebih lagi jika kita merasai bahawa ibadah yang kita lakukan seolah-olah kosong. Tiada isinya! Paling utama jika ia berkaitan dengan solat. Kita sedia tahu, solat itu dapat membentuk peribadi. Tetapi bagaimana dengan orang yang solatnya cukup tapi peribadi/akhlaknya tidak ada. Solatnya cukup tetapi auratnya tidak dijaga. Solatnya cukup, tetapi amarahnya cepat berkuasa. Ke mana hilangnya Roh solat tersebut?






Ini kisah benar. Saya mempunyai seorang sahabat yang mencuba untuk berubah. Mencuba untuk menutup auratnya dengan sempurna, mencuba untuk menjaga solatnya dan mencuba untuk mendaptkan kekhusyukan dalam ibadah. Pernahkan kita merasai sebenar-benar khusyuk dalam solat kita sepertimana khusyuknya Saidina Ali bersolat sehingga panah boleh dicabut keluar dari betisnya sewaktu sedang mendirikan solat? Mudahkan untuk kita memisahkan hal dunia sewaktu kita bersolat? Jika seorang pelajar, pasti sibuk memikirkan assignment yang melambak-lambak. Jika seorang pekerja, pasti sibuk memmikirkan urusan kerja yang tidak selesai. 


Memang benar, untuk mendapat khusyuk itu tidak mudah. Inilah juga yang berlaku pada saya dan pada ramai orang di kalangan kita. Begitu juga pada sahabat saya ini. tapi apa yang lebih membimbangkan adalah, sahabat saya ini solat malam, mengaji Quran, solat 5 waktu dijaga. Tetapi jiwanya merasa kosong! Dia tidak merasa manisnya ibadah2 yang dilakukan. Sungguh, dia menangis sewaktu menceritakan hal ini pada saya. Dia terasa usahanya itu sia-sia. Dia terasa ibadahnya itu sia-sia.Dia merasa Allah tidak mahu menerima dirinya. Dia merasa solatnya hanay sekadar tonggang-tonggek.


"sesungguhnya walau ku kutip semua permata di dasar lautan
sesungguhnya walau ku siram dengan air hujan dari tujuh langitmu
namun cinta takkan hadir
namun rindu tak akan berbunga
jika tidak kerana RAHMAT-MU"

Ini bait-bait lagu kumpulan raihan. Inilah juga kata2 yang menjadikan saya dan sahabat saya menjadi kuat. Usaha itu perlu untuk kita mendapatkan redha Allah. Kita perlu berusaha untuk memahami bacaan-bacaan dalam solat supaya ia meresap dalam diri. Cuba mendalami maksud doa iftitah, cuba memahami maksud Al-fatihah, cuba memahami bacaan ketika rukuk dan sujud. Jika membaca Quran pula, cubalah untuk membaca terjemahannya sekali dan cuba untuk menangis. Cuba lahirkan perasaan takut jika ayat yang dbaca itu berkenaan dengan azab Allah, berkenaan hari kiamat, berkenaan seksaan api neraka. Berdoalah kepada Allah dan mintalah kepada Dia. Mungkin ibadah yang kita lakukan itu belum cukup untuk kita mendapatkan rahmat Allah. Mintalah pada Dia dengan sesungguh hati supaya kita diberi peluang untuk merasa sedikit dari rahmatNYA.








Bila kita susah, kita selalu ingat pada Allah. Bila kita senang, kita lupa padaNya. Sebab itu, bergembiralah jika diberi kesusahan kerana Allah mahu kita dekat padaNya. Allah mahu mendengar rintihan kita.






Wallahua'lam.

Friday, January 6, 2012

cukup cantik aturanMu :)

"Untungnya jadi dia! Haish kenapa lah nasib aku macam ni. Kenapa aku harus lalui semua kepayahan ni? Kenapa dunia kejam dengan aku??"

Salam 'alaik..
Alhamdulillah, kita masih diberi ruang dan peluang untuk menghirup udaraNYA. Sesungguhnya setiap udara yang kita sedut ini adalah ehsan Allah kepada kita. Subhanallah..

Saya yakin, setiap orang pasti akan melalui saat2 'kejatuhan.' Saat di mana segalanya terasa sukar, dada seperti diasak, masa berlalu tanpa belas. Kita tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku pada kita dan kita jadi iri dengan kelebihan orang lain. Kita mempertikaikan mengapa nasib kita tidak sebaik dia.

AllahuRabbi.semoga kita bukan di dalam golongan ini.

Manusia ini ada waktu naik dan ada waktu turunnya. Semuanya telah diatur oleh Allah. Bila waktu kita naik, kita gembira.kita terasa seolah-olah semua usaha kita telah terbayar. Tetapi bila waktu kita turun, kita menyalahkan takdir. Tidakkan Allah itu adil? Bila kita berdiri, selepas itu kita akan duduk. Bila kita lapar, kita akan makan. Bila kita berlari, selepasnya kita akn berjalan. Cukup cantik aturanMu ya Rabb :) Begitu juga dengan kehidupan. Adilkah jika hanya diberi gembira tanpa merasa duka? tanpa waktu duka, sudah pasti kita takkan menghargai waktu gembira.



Jangan sesali nasib diri! setiap orang mempunya cerita hiudp yang tersendiri. Sesungguhnya apa yang kita lalui pada hari ini pasti ada kebaikannya buat kita kelak. Mungkin  esok, mungkin lusa mungkin setahun baru kita dapat merasai nikmat dan hikmahnya. yakinlah ALLAH TAKKAN BERI APA YANG KITA MAHU TETAPI DIA BERI APA YANG KITA PERLU.

Wednesday, January 4, 2012

Memang berbeza

Salam 'alaik..

Oh seronoknya bila tengok adik2 kita yang baru nak masuk darjah satu. Semangat yang sungguh luar biasa. Muka mereka cukup bersih untuk menimba ilmu. Pakaian sekolah yang cukup rapi dengan rambut tersikat kemas. Beg sekolah Ben10 dan Agry bird mengindahkan lagi pagi hari ni.

Hari pertama saya menjadi pelajar darjah satu, saya menangis meraung2 kat tepi kantik sekolah. Siap peluk tiang lagi. Semuanya gara2 takde pengalaman ke sekolah. Tapi budak2 zaman sekarang ni relaks je. Al maklumlah dari umur 4 tahun parents dah hantar ke sekolah. Takde masalah untuk sesuaikan diri dengan persekitaran.



Bila tengok persiapan sekolah  adik2 kita ni, memang jauh betul bezanya dengan zaman kita dulu. Pakaian sekolah 3 pasang, kasut sekolah 3 pasang. Wahhh memang mewahh! hari2 kasut dan baju boleh tukar. Bawa duit belanja pun RM3 paling sikit.

Memang berbeza dengan zaman kita dulu. baju sekolah hanya sepasang. Menjelang ke hari Jumaat tu, memang baju dah bau belacan. Kasut sekolah pulak dah macam kain buruk. Lagi teruk kalau time hujan. Kasut tak kering tapi terpaksa jugak pakai sebab kasut ada sepasang je. Caranya mudah sahaja. Pakai stokin lepastu balut kaki dengan plastik. So takde la stokin tu basah sekali. Bijak betul idea mak kita ni. Duit belanja pun bawa 50 sen je.  Time tu, 50 sen memang dah mewah sangat2 la. Siap ada baki lagi! Takde pulak budak2 zaman dulu ada masalah obesiti. Betul tak?

Dari sudut survival, budak2 zaman dulu lagi banyak kelebihan. Pergi sekolah naik basikal atau bas sekolah. Bila time basikal rosak, kene naik bas. Lepastu lupa pulak nak tunggu bas sebab dah biasa naik basikal. Bila lari kat tempat bas, bas dah jalan. Alamatnya kene jalan kaki la balik rumah. Berjalan sejauh 2km lebih!  Memang pengalaman yang tak dapat dilupakan.  Dan yang paling penting, pengalaman2 inilah yang menjadikan kita lebih kuat untuk menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Menjadikan kita lebih fleksibel bila berhadapan dengan masalah.

Memang betul. Bila kita dah biasa hidup senang, kita akan mengeluh bila ditimpa susah. Kita akan rasa kecewa bila apa yang kita harapkan tidak menjadi milik kita. Sehingga kita lupa semuanya adalah aturan Allah.






hidup ini umpama roda. Mana mungkin kita akan sentiasa berada di atas tanpa jatuh ke bawah!