JellyPages.com

Wednesday, July 11, 2012

MOTIVASI DIRI

Salam'alaik..
Alhamdulillah kita masih diberi ruang dan peluang untuk bernafas di muka bumiNYA.


Entah kenapa kebelakangan ini, banyak ujian yang menjengah hidup saya. Terkadang, rasa cemburu apabila melihat rakan seperjuangan sahabat dan sahabiah yang telah berjaya. Sehingga saya terlupa, untuk mereka sampai ke tahap itu, mereka juga diuji malah mungkin ujian mereka lebih berat lagi. Saya juga terlupa bahawa Allah tidak akan menguji hambaNYA dengan ujian yang tak mampu ditanggung. 


Saya terjatuh


Hampir 2 minggu saya bercuti kerana adik saya kemalangan. kemalangan teruk sehingga berlaku open fractured. Tulang tersembul keluar dan banyak tulang yang patah. Kami sekeluarga menangis. Tak pernah lagi keluarga kami diduga dengan ujian sebegini. Mak menangis sepanjang tempoh kritikal adik. Dia sedar, tetapi dia seolah-olah lupa. Kami sangat takut jika berlaku kecederaan pada otaknya. Abah tidak menangis di hadapan kami tetapi sedunya terdengar jelas dari bilik solat. Saya seolah-olah terjatuh pada gaung yang paling dalam. Adik apatah lagi. Dia seolah-olah berasa masa hadapannya telah malap. tangan dan kakinya tidak lagi dapat berfungsi seperti biasa. Kalau saya lemah, adik bagaimana? Saya hampir bertekad untuk berhenti dari pengajian. Saya mahu membantu mak menjaga adik. Sekurang-kurangnya inilah bantuan moral untuknya.


saya jatuh lagi


suami saya membantah sekerasnya jika saya mahu berhenti dari pengajian. Saya sudah hampir ke semester akhir. Tak kan saya mahu beralah? Memang benar, saya tak sepatutnya berhenti di tengah jalan. Saya meneruskan penyelidikan. Tetapi saya diduga lagi. Berminggu-minggu penyelidikan yang saya lakukan tidak memberikan keputusan yang sepatutnya. Saya terduduk! Apa yang harus saya lakukan lagi? Jiwa saya seperti di bawa pergi. Terbang jauh ke awan. Rakan-rakan penyelidik yang lain, memberikan semangat dan galakan. Seseorang yang mengalami kesusahan yang banyak, pasti kegembiraannya juga banyak. Sebanyak mana yang kita tanam, sebanyak itu jugalah yang kita tuai. saya cuba bangkit dari jatuh. saya mulakan segalanya semula. Mencari setiap jawapan untuk persoalan yang timbul. Saya buka buku baru.


Bukan setakat itu


saya mula bina kekuatan.  Saya harapkan panas sampai ke petang. Saya diuji lagi. Diuji dengan sebuah kesakitan. Saya sangka hanya demam biasa. Rupa-rupanya saya diserang virus. Semua sendi-sendi saya jadi sakit. Saya tidak mampu untuk berjalan sendiri. Walaupun pada awalnya saya paksa diri untuk solat berdiri, akhirnya saya terpaksa solat duduk. Hampir seminggu saya hanya berkurung di dalam rumah memandangkan rumah saya di tingkat 5. Tiada lif hanya tangga. Saya tak berdaya untuk mendaki anak tangga. Berkurung di rumah hanya menambahkan tekanan dalam jiwa. Sekali lagi, semangat saya hilang. Saya gagahkan diri untuk ke pusat kesihatan. Dr. meminta saya melakukan ujian darah takut-takut saya menghidapi atrhitis. Atrhitis boleh menyebabkan kegagalan fungsi kidney dan juga boleh menyerang otak yang akan menyebabkan lumpuh.  Saya putus asa. Saya betul-betul mahu berhenti dari pengajian. Saya mahu berada di samping suami dan melalui semua ujian hidup dengannya. Sekali lagi suami saya tidak bersetuju. Dia mahu saya kuat hanya untuk satu semester sahaja. Sepanjang tempoh saya sakit, semua tugas-tugas saya dilakukan olehnya. Dia memasak, membasuh baju,malah mengendong saya. Saya terasa seperti beban untuknya. Dia melakukan semuanya dengan tulus. Setiap kali solat, air matanya pasti mengalir. Mental saya diuji. 




Masih diberi peluang


Keputusan ujian darah mengesahkan saya bebas dari atrhitis. Hanya darah dan urine saya diajangkiti kuman. kedua-dua kaki saya membengkak. Pergerakan saya semakin sulit. Tapi alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya tahu saya tidah menghidap sebarang penyakit kronik. Kini, sudah hampir 2 minggu saya tidak ke makmal. Penyelidikan saya banyak tergendala. Saya takut sekiranya pengajian saya ini akan mengambil masa yang lebih lama. Saya sebolehnya tidak mahu lagi duduk berjauhan dengan suami. Suami saya bersusah payah mencari rumah sewa lain  yang tidak memerlukan saya untuk naik turun tangga. Dia mahu saya selesaikan pengajian saya. Inilah hadiah yang dia mahukan.


Kenapa saya selemah ini?


Saya baru tersedar. Kenapa saya terlalu lemah menghadapi ujian-ujian ini? Saya cuba muhasabah diri. Saya yakin pada satu hal. Jiwa saya kosong. Iman saya menipis. Inilah sebabnya. Sebab utama kenapa saya sering mengalah dengan ujian tuhan. Saya perlu memantapkan jiwa. memantapkan iman! Tak sabar menunggu Ramadhan, kerana saya yakin Ramadhan dapat membantu saya membentuk jati diri ummah yang lebih baik. Harap-harap saya masih dapat bertemu dengan Ramadhan. 

2 comments:

@sm@lin@ said...

Sri, stay strong girl!!!

lama sgt xdgr kabar brita ko.. jaga diri elok2.kuatkan smgt.. sikiiit lagi! :')

sri said...

yg sikit tulah yg makin kuat dugaannya. semoga aku dipinjamkan sedikit kekuatan utk menyelesaikan apa yg aku dh mulakan :) semoga semua urusan ko jg dipermudahkan~